Assalamualaikum para pengunjung blog yang saya hormati sekalian. Kali ini saya mahu berkongsi pengalaman saya mengambil ujian amali memandu (test JPJ) untuk lesen motosikal B2.

Untuk makluman, sebelum ini saya pernah cuba ambil lesen B2 pada tahun 2016 setelah dapat lesen kereta pada tahun sebelumnya. Namun saya dapat setakat lesen L sahaja, saya langsung tidak jalani latihan KPP02 dan KPP03 sehingga lah lesen L saya mati selepas 2 tahun. Tahun 2022, saya berazam untuk dapatkan lesen motor.

Untuk lesen kereta dan motor yang lalu saya daftar di Akademi Memandu SKMS, untuk lesen motor kali kedua ini saya daftar di Akademi Memandu Nasrom sebab masa saya tanya di SKMS, sebulan lagi baru ada slot kosong untuk kelas ceramah. Kalau di Nasrom ada slot kosong segera, jadi terus saya daftar untuk belajar di sana.

Setelah menghadiri latihan litar dan jalan raya KPP02 dan KPP03 selama 6 hari (2 hari saya latihan pagi dan petang), saya jalani penilaian atau ujian QTI pada 9/9/2022 dan saya gagal dengan “jayanya.” Awal-awal lagi sudah terjun titi, terus failed. Nasib baik ujian bahagian 3 (jalan raya) saya lulus. Maka ujian QTI ulangan bahagian 2 pada 23/9/2022 dan alhamdulillah saya lulus kali ini.

Setelah menunggu beberapa hari, akademi memandu Whatsapp tarikh test JPJ saya jatuh pada Khamis 13/10/2022. Sebelum ini saya buat latihan dan ujian QTI pada hari offday, kali ini kena ambik cuti sebab jatuh pada hari saya kerja.

Hari Rabu 12/10/2022 saya check status Whatsapp cikgu saya, Cikgu Yusran, giliran untuk test pada hari esok. Saya dapat sesi pertama giliran ke-21, kena pakai vest oren.

Nombor giliran

Kononnya jam 7:30 pagi sudah kena ada di akademi untuk pendaftaran. Tapi biasa lah janji Melayu, jam 8 pun belum tentu boleh mula.

Hari Test JPJ

Awal-awal pagi lagi saya dah lari dari planning asal. Asalnya nak bertolak dalam jam 6:40 gitu tapi terlajak jadi 6:50 jugak, lepas tu nak kena singgah isi minyak kereta pulak, lagi lah lari dari plan asal. Sebab Khamis hari kerja, jalan jem bukan main, so pendek cerita hampir pukul 8 juga lah saya sampai ke sana walaupun asalnya bajet 7:30 dah ada kat sana.

Saya kena duduk di kerusi ikut nombor yang dah ditentukan. Saya kena pakai vest oren nombor 21. Mula-mula cikgu akademi yang bagi taklimat dan tips sebelum test. Kemudian baru lah JPJ yang ambil alih. Kami mula daftar dan diberikan borang pemarkahan.

Hari ini tanpa diduga hujan agak lebat, nampak gayanya basah lencun la geng motosikal kali ini. Mujur hujan reda sebelum ujian bermula.

Test Bahagian 1

Yang pertama sekali tentulah ujian RPM (Rutin Pemeriksaan Motosikal) dan PSMP (Pemeriksaan Sebelum Memulakan Perjalanan). Ada 4 buah motosikal dan 4 orang calon buat RPM dan PSMP serentak. Kali ini saya rasa seolah-olah “disabotaj” oleh pihak akademi memandu. Masa praktis, kami guna motor Honda EX5 tapi untuk test JPJ ni boleh-boleh pulak diorang pakai EX5 2 buah, 2 buah lagi pakai motor Modenas Kriss. Saya tersalah ambik Kriss pulak. Saya tak check bateri bukan sebab lupa tapi tak tahu nak check kat mana, kat mana letaknya bateri motor Kriss ni. Dan tayar kurang angin, rantai kendur, saya temberang kononnya tekanan angin mencukupi, rantai ok tidak terlalu kendur. Lantak lah!

Cikgu saya – Cikgu Yusran tunjukkan cara-cara untuk lakukan RPM dan PSMP

Seterusnya, naik titi. Calon perlu tunggu lampu hijau di pondok JPJ menyala baru boleh mula ujian. Saya rasa gementar sebab saya jatuh titi masa ujian QTI. Yang buat saya lagi berdebar-debar sebab semua yang meniti lepas dengan gayanya. Dalam hati- “takkan aku sorang yang bakal terjun titi nanti.” Akhirnya ada seorang makwe ni yang jatuh titi, sikit je lagi nak sampai hujung tapi jatuh jugak. Ada sorang lagi, bukan main laju naik titi, saya rasa tak sampai 7 saat dia naik titi. Sampai giliran saya, saya dapat buat dengan jayanya. Last sebelum tayar belakang turun titi, saya brek, just in case tak cukup 7 saat.

Yang kon takde masalah, yang ni kacang je. Tapi ada sorang ni kakinya pijak tanah, memang gagal lah kalau macam tu.

Seterusnya brek kecemasan. Yang ini seronok sebab kalau hujan, yang ini akan jadi markah percuma. Sepatutnya kena 6 saat ke bawah, tapi sebab hujan, masa tak dikira, asalkan berhenti dalam kotak dah cukup. Saya cuba nak buat dengan pelan-pelan dan hati-hati tapi rasa macam laju jugak sampai tayar belakang terseret masa membrek. Mujur tak terbabas dan terbalik. Kalau tak itu lah kegagalan yang paling malapetaka sebab JPJ dah nak bagi markah free tapi masih gagal jugak.

Yang lain-lain iaitu jalan tidak rata/berbonggol, pusingan 8 dan selekoh Z senang macam makan kacang je.

Test Bahagian 3

Seterusnya saya terus tolak motor ke garisan mula Bahagian 3. Calon perlu tunggu lampu merah di pondok JPJ menyala baru boleh mula ujian. Yang ini saya buat seperti yang saya selalu praktis. Alhamdulillah, saya lulus kedua-dua bahagian. Gembira betul sebab lulus dengan sekali test je. Kalau lesen kereta dulu, 2 kali test baru lulus.

Sebelum balik saya dapat sehelai slip keputusan dan staff beritahu hari Selasa baru boleh gi buat lesen.

Slip keputusan test JPJ

Tambah Kelas Lesen

Hari Isnin 17/10/2022 rekod saya lulus test JPJ kelas B2 sudah dikemaskini di laman web JPJ. Asalnya saya nak buat lesen pada hari Selasa sebab saya masuk kerja tengah hari tapi saya ada hal lain yang lebih mustahak pada pagi itu. Jadi saya buat pada hari Rabu sebab kebetulan saya tukar offday dengan kawan saya kerana saya perlu bawa mak ayah ke temujanji klinik.

Saya pergi terus ke pejabat JPJ di Panji sebab saya difahamkan urusan tambah kelas tak boleh buat di UTC.

Selepas isi borang dan tunggu giliran, saya beritahu petugas kaunter saya mahu tambah kelas lesen dan menghulurkan borang dan slip keputusan. MyKad dan lesen asal langsung tidak diminta. Urusan di sana adalah tanpa tunai, kena pakai kad sahaja. Caj RM5 untuk tambah kelas.

Saya disuruh untuk tunggu sebentar. Selepas beberapa minit, nama saya dipanggil untuk ambil kad lesen memandu yang baru. Saya rasa bersyukur kerana lesen saya sudah bertukar dari “D” kepada “B2 D”. Sekarang dah boleh cabut sticker “L” dari motor.

By Sanazi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *