Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya akan berkongsi pengalaman menggunakan ubat luka iaitu Losyen Kuning Cap Kaki Tiga.
Saya ada ahli keluarga atau saudara terdekat yang mengalami luka yang agak besar dan sudah lama berlarutan namun tetap belum sembuh.
Sudah banyak jenis ubat yang dicuba baik dari doktor atau yang dibeli di farmasi, namun luka masih belum baik. Serbuk ubat sensei pun saya sudah cuba namun kesannya sama sahaja.
Saya sudah nasihatkannya untuk rujuk ke hospital sahaja, mungkin pembedahan sahaja yang mampu rawat luka ini. Namun dia sangat takutkan pembedahan dan tidak mahu untuk ke hospital.
Saya cuba mencari ubat luka di internet. Saya jumpa satu ubat yang dijual di Shopee dan banyak reviews positif dari pengguna, namun saya tidak dapat menemukan sebarang maklumat pendaftaran di laman web National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) maka saya tidak mahu mengambil risiko mencubanya.
Saya juga jumpa Losyen Kuning Cap Kaki Tiga. Ubat luka yang agak biasa digunakan, namun saya tidak pernah pakai. Selalunya kalau luka, tampal handyplast sahaja, kalau letak ubat pun, sama ada minyak gamat atau minyak TYT sahaja. Disebabkan ubat luka ini disenaraikan di laman web NPRA, terus saya beli.
Sebelum mula menyapu ubat ini ke kawasan luka, luka perlu dibersihkan dulu. Selalunya saya akan gunakan cecair Dermacyn. Disebabkan cecair Dermacyn ini agak mahal, saya mula gunakan Dettol yang dibancuh dengan air sahaja. Tidak ada masalah rasanya asalkan tidak rasa pedih ketika dibasuh dengan larutan Dettol.
Untuk menutup kawasan luka, asalnya saya gunakan Xecasponge, kemudian saya gunakan cotton pad. Untuk lekatkan kapas ke kawasan luka, saya gunakan wound dressing daripada Nur Care.
Selepas beberapa bulan ubat ini digunakan secara berterusan setiap hari, hasilnya memang mengagumkan. Luka telah kering dan hampir sembuh sepenuhnya.
Kalau boleh saya mahu tunjukkan gambar sebelum dan selepas, tapi tidak boleh sebab luka di kawasan aurat, harap maklum. Jika ada luka-luka yang lambat sembuh boleh cuba losyen ini dan paling penting jangan lupa berdoa memohon kesembuhan.