carousell

Assalamualaikum. Kali ini saya akan kongsikan pengalaman saya beli komik terpakai dari Carousell. Carousell adalah pasar di mana anda boleh jual dan beli barang sama seperti Mudah dan Ebay.

Saya kini sedang mengumpul semula komik-komik yang pernah dibaca dalam majalah Gempak. Komik-komik ini sudah tidak boleh didapati versi baru di kedai, hanya versi terpakai sahaja yang ada. Carousell adalah pasar komik terpakai pilihan saya. Saya menemukan tempat ini menerusi carian komik Toto! dan Oxer.

Sebagai peringatan, memang lumrah pembelian atas talian, kita tidak dapat lari daripada masalah scam atau penipuan daripada pihak penjual atau pembeli. Gunakan best jugdement anda untuk menilai sama ada kemungkinan ditipu tinggi atau tipis. Elakkan membeli barangan mahal daripada tempat sebegini. Tips elakkan ditipu daripada CarousellPerkongsian kisah cubaan tipu oleh pembeli di Carouselllebih banyak perkongsianSemak data-data penjual barang.

Antara sebab saya jumpa pasar ini seperti sudah diberi tahu adalah setelah mencari komik Oxer. Antara komik dalam majalah Gempak yang saya suka. Dulu komik Oxer memang rare, tapi kini tidak lagi. Komik Oxer yang lengkap telah diterbitkan kembali dalam 9 buah komik kompilasi Gempakstarz. Jadi tidak ada keperluan untuk saya beli komik terpakai Oxer.

Dulu saya pernah pinjam komik Toto! karya Osada Yu-Ko. Tiba-tiba terasa hendak baca semula. Sebab saya buka akaun Carousell kerana saya ternampak iklan jualan komik Toto! yang baru dimuat naik dalam masa beberapa minit. Malangnya komik itu telah pun dijual kepada pengguna lain.

Rezeki saya untuk beli komik ini pada minggu lepas. Walaupun iklan telah lama diterbitkan, namun komik tersebut masih ada. Komik ini ada dua jilid dan saya bayar RM50 termasuk kos penghantaran ke Semenanjung. Penjual berada di Sarawak. Walaupun buku terpakai, mungkin anda keliru kenapa saya perlu bayar begitu mahal sedangkan harga jual adalah RM6.50 (RM7.50 Sabah/Sarawak) sebuah. Kerana buku ini sudah jadi barang rare sebab itulah harganya mahal. Saya anggap RM50 untuk adalah tawaran yang adil untuk pihak pembeli.

Saya beli pada waktu malam hari Selasa (2 April 19). Penjual terus pos pada keesokan harinya. Saya terima hari Ahad (7 April 19). Agak lama juga masa yang diambil untuk sampai, maklumlah jauh-jauh daripada Sarawak.

beli komik terpakai dari carousell poslaju tracking
Log tracking PosLaju untuk komik Toto!

Barang yang diterima dalam keadaan baik. Walaupun komik tersebut sudah berusia 15 tahun tapi kondisinya masih baik. Cuma ada kekotoran dan kekuningan minimum yang tidak dapat dielakkan seiring peredaran masa. Pendek kata, baik punya jaga, barang masih tip top.

beli komik terpakai dari Carousell - komik Toto! karya Osada Yu-Ko
2 jilid komik Toto! karya Osada Yu-Ko

Sambil menanti komik ini tiba. Saya ada beli komik lain daripada penjual lain. Komik tersebut ialah komik Kishiro Budak Sihir karya Bear. Sama seperti komik Toto!, komik ini juga ada dua jilid. Walau bagaimanapun, urusniaga ini terdapat sedikit masalah. Setelah penjual memberikan tracking number PosLaju kepada saya, nombor tersebut tiada dalam sistem PosLaju. Penjual ada cakap dia pos pada hujung minggu, mungkin belum naik lagi.

Esoknya, lusanya, tulatnya, puas saya semak tapi masih lagi tiada rekod. Saya mula cuak. Sebelum beli, of course saya sudah semak ratings dan ulasan yang ditinggalkan oleh pengguna-pengguna lain kepada penjual ini, tiada satu pun yang negatif, banyak pula tu, takkan lah larat dia hendak cipta akaun palsu untuk tinggalkan ulasan positif. Akaun dia sudah lama dibuat, kalau scammer mustahil akaun dia boleh bertahan sehingga hari ini. Saya masih lagi bersangka baik dan memang PosLaju kadang-kadang ada masalah.

Hari Selasa (9 April 19), dua hari setelah saya terima komik Toto!, terdetik di hati mahu selidik siapa sebenarnya penjual ini. Apabila saya mencari kata kunci “Ditipu di Carousell”, hampir tercirit saya (hehehe) apabila ada artikel yang menyebut nama sifulan scammer hampir-hampir dengan penjual yang saya sudah bagi duit kepada dia. Bila tengok balik, nasib baik nama penuh tak sama. Saya selidik sedikit sebanyak maklumat nombor telefon dan akaun bank penjual ini, tiada sebarang maklumat penipuan ditemukan.

Petangnya, betapa leganya saya apabila tracking number sudah ada dalam sistem, selepas 3-4 hari barang dipos. Rekod barang diserahkan di kaunter langsung tiada. (Kalau si penjual komik Kishiro tersebut baca artikel ini, maaf ya, bukan saya sengaja nak syak wasangka, tapi ini adalah lumrah bila tracking number tidak ada dalam sistem.)

Saya terima komik Kishiro ini hari Rabu (10 April 19). Komik ini dalam keadaan baik. Jilid satu sama sahaja macam komik Toto!, ada kesan kotoran dan kekuningan minimum yang disebabkan oleh peredaran masa, ditambah lagi kulit hadapan (cover) komik ini berwarna putih. Sementara jilid kedua pula, saya boleh kata sama seperti yang didakwa oleh penjual: New Old Stock, komik masih dalam plastik dan setiap helaian masih putih dan ada sedikit “aroma” seperti baru dibeli dari kedai. Yang mencacatkan untuk diberi markah 10/10 kerana ada sedikit bent di bucu-bucu komik, biasalah barang yang lama disimpan.

beli komik terpakai dari Carousell - komik Kishiro karya Bear
2 jilid komik Kishiro karya Bear

Pada malam hari Isnin (8 April 19), saya beli pula komik Jackie Perang Pit walaupun ketika itu hati masih lagi gundah gulana kerana komik Kishiro yang saya beli masih tidak dapat dikesan. Ada dua penjual yang jual komik ini. Saya tanya dulu penjual pertama, saya dapati dia last online 5 hari yang lalu. Maka saya tanya pula penjual kedua, perghh! Last online 3 bulan yang lalu. Tapi yang anehnya mesej itu ditanda seen walaupun banyak kali saya refresh tapi dia tetap last online 3 bulan yang lalu.

Nasib saya baik kerana penjual pertama balas mesej saya. Mungkin dia terima notification ada orang hantar chat kepadanya di Carousell. Urusan jual beli berjalan lancar dan dia terus pos pada keesokan harinya. Dan selepas dia hantar tracking number, rekod terus naik dalam sistem PosLaju, tidak seperti yang berlaku kepada komik Kishiro.

Laju betul PosLaju hantar komik Jackie Perang Pit kepada saya. Selepas bungkusan dipos, saya terus terima pada keesokan harinya, hari Rabu (10 April 19). Saya sudah jangka yang saya akan terima komik ini serentak dengan komik Kishiro kerana rekod tracking adalah sama dari segi masa dan lokasi kedua bungkusan ini diimbas. 2 komik ini dihantar serentak oleh posmen yang sama.

beli komik terpakai Carousell - tracking number PosLaju
Kebetulan dua bungkusan dari penjual berbeza sampai serentak

Masa saya buka bungkusan komik ini, terperanjat saya kerana saya sangkakan penjual ini hantar buku lain kepada saya. Dia balut dulu komik ini dalam plastik bercorak sebelum balut dengan bubble wrap. Nasib baik plastik bercorak itu tidak 100% opaque, saya dapat lihat lukisan Jackie Perang Pit dari luar. Lega saya. Niat penjual baik untuk lebihkan protection, tapi terkesima saya dibuatnya.

Komik ini hanya satu jilid sahaja dan lengkap dari mula sampai tamat. Keadaan komik dalam keadaan baik. Hanya ada kesan kekuningan di bahagian jaket (kulit luar) dan pada bahagian sisi. Setakat ini saya rasa komik ini yang paling murah saya beli dari Carousell jika dikira nisbah harga kepada ketebalan. Antara kesemua komik yang telah saya beli, ini yang paling tebal.

beli komik terpakai dari Carousell - komik Jackie Perang Pit karya Taufan
Komik Jackie Perang Pit karya Taufan

Ini ialah perkongsian saya beli 3 judul komik terpakai daripada Carousell. Setakat ini segalanya baik, barang sampai dan dalam keadaan yang saya jangkakan. Saya pasti akan terus menggunakan platform ini. Malah masih ada beberapa iklan yang saya bookmark. Harap-harap komik-komik berkenaan masih belum terjual apabila saya mahu beli nanti dan harap-harap masih ada yang akan iklankan lebih banyak komik-komik rare yang saya tengah cari atau mungkin berminat.

NOTA: Artikel ini ialah siaran semula daripada blog www.perkongsian.com. Tarikh siaran asal pada 20/04/2019.

2 thoughts on “Beli Komik Terpakai Dari Carousell”
  1. […] Jadi penyelesaian yang paling efisyen ialah anda kena collect anime yang anda betul-betul minat secara fizikal, anda kena collect DVD atau Bluray. Kat mana nak cari? Kalau nak cari di kedai fizikal mungkin susah juga. Paling senang tentulah di Shopee, boleh cari, bandingkan harga, dan terus beli. Kalau nak beli yang secondhand anda boleh try Carousell. […]

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *