Assalamualaikum semua. Sudah lama saya tidak muat naik sebarang artikel baru sejak September 2020. Ini adalah artikel pertama untuk tahun 2021, setahun selepas artikel terakhir.
Setahun tidak menulis artikel, bermakna setahun juga kos sewa hosting dan domain name dibayar tapi disia-siakan.
Sejak beralih daripada platform Blogger/Blogspot ke self-hosted WordPress ini, sudah macam-macam hosting saya cuba sebelum kekal dengan NetKL. Namun saya merasakan sudah tiba masa untuk saya cari rumah yang baru untuk blog saya ini.
Macam-macam yang saya tidak puas hati dengan NetKL, antaranya:
- Domain name percuma yang saya pilih ketika daftar hosting tersebut ialah domain .net namun kini tidak lagi ditawarkan secara percuma. Kalau mahu kekalkan domain itu saya perlu bayar RM45. Terpaksa saya pilih domain .com pula.
- Asalnya, hosting saya ada recurring discount RM10 setiap kali renew. Namun selepas kejadian di atas, mereka memberikan invoice baru tanpa diskaun RM10 itu. Saya malas untuk bertanya lebih-lebih sebab saya renew ketika malam raya, hampir tengah malam, support agak perlahan ketika itu, jadi redha je lah.
- Kini, domain name tidak lagi diberikan secara percuma kepada pelan-pelan hosting NetKL kategori basic. Jadi invoice saya kembali dikira untuk kos hosting dan domain name.
- Blog saya kurang trafik tapi banyak kali juga downtown yang dilaporkan oleh plugin Jetpack monitor.
Saya rasa cukuplah sebab untuk saya angkat kaki dari NetKL dan memilih alternatif lain.
Sejujurnya, saya beredar bukan sebab benda yang buruk dari pihak NetKL, lebih kepada saya ingin mencuba hosting yang lain pula, jika hosting lain lebih buruk, pasti saya akan kembali ke NetKL.
Sebab kenapa saya mahu beredar tapi tidak semestinya sebab perkara buruk di pihak NetKL:
- Meminta domain name percuma untuk kos hosting RM100, saya rasa memang tidak wajar kerana harga domain name semakin lama semakin naik harga, jadi saya faham memang patut domain name percuma tidak diberikan lagi. Harga hosting dan domain name yang ditawarkan oleh NetKL antara yang murah di Malaysia, boleh cuba banding dengan penyedia-penyedia lain.
- Downtime yang saya alami bukanlah terlalu banyak sehingga langsung tidak boleh diakses dan buat saya tawar hati. Sekali sebulan atau beberapa bulan sekali, dan selalunya untuk beberapa minit sahaja. Dengan apa yang saya bayar, rasanya downtime sebanyak itu bukan masalah besar.
Kalau berminat dengan NetKL, boleh cuba baca panduan daftar dan setup WordPress di hosting NetKL.
Apa-apa pun, pilihan sudah dibuat. Saya mahu cuba hosting yang lain. Kini saya sedang bereksperimen dengan hosting percuma Google.