Baucar buku aku masih lagi berbaki RM150. Bermula dari 1 Mei, baucar tersebut hanya boleh digunakan untuk membeli buku-buku pelajaran sahaja. Itulah yang membuatkan aku jadi kecewa kerana aku berhajat gunakannya untuk membeli komik. Tapi apa boleh buat, sudah ditetapkan begitu.
Aku mengikut kawan-kawanku ke Kinokuniya untuk menghabiskan saki baki baucar itu. Buku yang aku ambil ialah buku tentang HTML dan CSS. Harganya lebih kurang RM130. Aku berusaha sedaya upaya untuk mencari buku yang berharga bawah RM20 untuk menggenapkan nilai baucer, namun kecewa kerana yang paling murahpun dalam RM60. Maka aku redhakanlah untuk biarkan nilai yang selebihnya hangus begitu sahaja. Aku sambar juga komik dua naskah. Satu manga kalkulus dan satu lagi komik Misi 10A Finale.
Semasa hendak pergi cop baucar, pekerja di kaunter bertanya adakah kami sudah tahu tentang syarat baru, kami beritahu saja yang kami sudah tahu. Semasa hendak bayar di kaunter berasingan, aku sudah sediakan wang tunai yang secukupnya untuk membayar dua komik yang tidak dapat ditampung oleh baucar ini. Namun yang ajaibnya, juruwang itu mengira juga harga buku diatas baucar itu. Untung lah aku, aku juga hairan adakah dia tidak tahu atau tidak perasan atau terlupa atau apakah komik sebegini dikira bacaan ilmiah? Komik kalkulus itu mungkin, komik Misi itu juga mungkin kerana komik-komik karya saudara Afiq dan Nazry ini disarankan oleh pakar motivasi dan guru-guru. Walau apapun, lebih baik aku beredar dahulu sebelum dia perasan.