Pengalaman mengundi pilihan raya bagi saya sangat nipis.
Untuk PRU-13 saya masih belum cukup umur untuk mengundi. Waktu ini umur minima untuk mengundi masih 21 tahun.
Untuk PRU-14 saya sudah cukup umur untuk mengundi tapi saya lewat daftar sebagai pemilih, sekali lagi kempunan untuk mengundi. Waktu ini pendaftaran calon pemilih masih belum automatik.
Untuk PRU-15 tahun 2022 baru lah saya dapat pengalaman mengundi pilihan raya yang pertama.
Hari ini, Sabtu 12 Ogos 2023 adalah hari Pilihan Raya Negeri bagi 6 negeri, termasuk negeri saya. Maka hari ini adalah pengalaman kali kedua bagi saya.
Sama seperti rutin sebelum ini, mula-mula saya akan settlekan urusan ayah saya mengundi dahulu. Saya temankan ayah saya mengundi di pusat mengundi yang berbeza dari saya. Sesudah urusan ayah saya selesai baru lah saya jalankan tanggungjawab saya.
Saya sudah check nombor saluran dan bilangan saya secara online, maka saya tak pergi ke pondok semakan yang disediakan. Sebab itu saya tidak ada slip macam yang orang lain dapat.
Mula-mula kena gi cari tempat saluran dahulu dan beratur, tak ikut pun nombor bilangan, beratur secara rawak je. Bila sudah sampai giliran, petugas akan minta nombor bilangan. Kalau ada slip bagi yang tu, kalau tak ada macam saya, saya beritahu nombor yang saya sudah check secara online. Dan serahkan MYKAD sekali.
Petugas akan baca kuat-kuat nombor I/C dan nama penuh, kemudian barulah akan diarahkan untuk celup habis jari telunjuk kiri ke dalam botol dakwat.
Bila jari dah jadi biru, petugas akan serahkan kertas undian dan bagi balik MYKAD. Saya perlu pangkah undi saya di kaunter yang ada di belakang bilik. Akan ada panduan untuk pangkah, antaranya gunakan pen yang disediakan, jangan pangkah guna dakwat yang ada di jari.
Selesai buat tanda X, saya buang kertas undi ke dalam kotak di tengah-tengah bilik.
Selesai. Saya keluar dari bilik itu melalui pintu belakang. Dah boleh balik tidur…