Tempoh hari ada kawan tanya saya kat mana nak pergi untuk urusan permohonan kursus pra perkahwinan di Balai Islam Lundang. Saya cakap tak perlu pun pergi sana, boleh je buat permohonan di Pejabat Agama Daerah.
Mengikut pemahaman saya, boleh juga daftar kursus secara online dan hadiri kursus tersebut secara online, dan ianya diiktiraf oleh JAKIM. Selain itu, untuk kursus secara bersemuka, boleh saja orang negeri lain untuk berkursus di negeri lain. Tak perlu balik kampung untuk mengikuti kursus pra perkahwinan.
Tapi untuk perkongsian ini, saya akan kongsikan permohonan kursus bersemuka dan kursus di mukim/daerah yang sama dengan tempat lahir peserta. Jadi saya minta bantuan kawan saya untuk ceritakan kepada saya mengenai permohonan beliau dan kongsikan sedikit gambar kepada saya.
Oleh sebab kawan saya ni anak jati Tumpat maka dia perlu pergi ke Pejabat Agama Tumpat untuk mengemukakan permohonan. Di sana dia perlu isi borang dan membuat bayaran sebanyak RM70. Apa yang akan diberikan ialah sekeping resit dan sekeping kertas panduan/tentatif kursus.
Etika pemakaian untuk lelaki ialah baju melayu + seluar melayu atau baju melayu + seluar slack, memakai songkok/kopiah dan berkasut. Untuk perempuan pula ialah baju kurung.
Kursus berlangsung selama dua hari, iaitu pada setiap hari Selasa dan Rabu. Kursus pra perkahwinan ini diadakan sekali sahaja dalam sebulan.
Selepas tamat kursus pada hari kedua, sijil kursus akan diberikan serta merta.
Jika ada yang tanya adakah sijil kursus pra perkahwinan mempunyai tarikh tamat tempoh selama 10 tahun, jawapannya, mengikut pembacaan saya di sekitar internet, masih tiada tempoh tamat kerana perkara itu masih dalam peringkat cadangan.